Peringkat pertama Adat resam kahwin Melayu

Merisik atau menengok

Sebaik sahaja ibu bapa seseorang lelaki memutuskan bahawa anaknya cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan isteri anaknya. Biasanya calon dipilih bedasarkan keturunan, pendidikan ugama, kecantikan, dan hubungan kekeluargaan. Tanggungjawab untuk memilih pengantin perempuan jatuh kepada ibu bapa pada keseluruhannya. Bagi pihak lelaki, ibu bapa mungkin menyenaraikan beberapa calon untuk dipilih, dengan persetujuan anak lelaki mereka atau sebaliknya. Bagaimanapun, kini sebilangan orang Melayu khususnya mereka yang berpendidikan barat, membiarkan pilihan isteri hampir pada keseluruhannya kepada anak-anak lelaki mereka.

Menurut adat resam kahwin Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas memilih pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka dengan teliti. Selepas mereka memilih beberapa orang anak dara yang sesuai, mereka akan memulakan penyiasatan dengan menanya kawan-kawan dan saudara-saudara mereka serta anak-anak dara yang terpilih. Dalam pemilihan mereka, ibu bapa anak lelaki memerlukan bahawa bukan sahaja sifat dan tingkah laku anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka memegang teguh kepada peribahasa, "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu."

Antara sifat-sifat yang paling dikagumi oleh bakal mertua pada zaman dahulu(dan masih oleh sebilangan orang pada hari ini) ialah kemahiran rumah tangga seperti memasak dan menjahit. Bagaimanapun, pencapaian yang paling disanjung ialah keupayaan anak dara untuk membaca al-Quran (baik memahami apa yang dibacanya mahupun tidak) dengan fasih dan merdu. Tidak terdapat sebarang pencapaian pendidikan ketika itu yang lebih penting, termasuk juga kenal huruf dalam bahasa Melayu.

Selepas membuat keputusan tentang bakal menantu perempuan berdasarkan maklumat-maklumat yang dikumpulkan dan sebelum meminang, ibu bapa anak lelaki akan membuat penyiasatan terakhir dengan menghantar sebilangan kawan atau saudara (biasanya wanita) ke rumah anak dara itu untuk mengenalnya secara peribadi. Biasanya, utusan-utusan itu dihantar ke rumah anak dara tanpa sebarang pengumuman kerana adanya makna khusus untuk kunjungan tanpa persediaan itu. Orang Melayu pada zaman dahulu (serta sebilangan kecil di kawasan luar bandar pada hari ini) mempercayai bahawa pada ketibaan utusan-utusan di rumah anak dara itu, gadis itu sedang mandi atau mencuci, ini merupakan petanda yang bertuah untuk masa hadapan perkahwinan kedua-dua orang muda itu. Sebaliknya, jika gadis itu didapati masak di dapur, ia merupakan petanda yang kurang baik[perlu rujukan]. Orang Melayu pada zaman dahulu juga mempercayai bahawa jika perjalanannya ke rumah anak dara lambat atau dihalang atas sebarang sebab atau kemalangan, ia merupakan petanda bahawa masa depan perkahwinan itu tidak begitu bahagia. Bagaimanapun,[kepercayaan karut] ini tidak lagi diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu, termasuk juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Pada akhir kajian dan selepas menilai, ibu bapa anak lelaki itu akan mengadakan majlis kecil antara keluarga kedua-dua pihak serta bersama-sama saudara-saudara rapat untuk memutuskan hari yang baik untuk meminang.

Meminang atau bertunang

Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang tua yang rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuan agar mendapat persetujuan. Ibu bapa anak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas alasan bahawa mereka harus berunding dengan saudara-saudara mereka (walaupun mereka telah tahu tentang kunjungan utusan sebelum ketibaannya, dan telah memberikan persetujuan). Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama, seminggu. Ibu bapa anak perempuan kemudian menugasi sebilangan saudara yang terdiri daripada kedua-dua lelaki dan perempuan, untuk menyampaikan keputusan mereka untuk menerima pinangan. Dan adalah semasa ini bahawa syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara perkahwinan, dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan. Inilah sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.

Pada zaman silam, dan pada takat yang tidak begitu biasa pada hari ini, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Tanda itu biasanya adalah dalam bentuk cincin emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada kehendak hati serta keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.

Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah-hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah-hadiah iringan secara tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak:

  • Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
  • Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.

Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari zaman silam. Terdapat juga dua cara pertunangan yang lain selain daripada cara yang tersebut di atas, iaitu:

  1. Pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak mereka masih bayi atau kanak-kanak lagi.
  2. Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang mendiang ibu bapa (baik secara lisan sebelum kematiannya atau melalui wasiat tertulis). Cara ini amat dihormati oleh orang-orang Melayu.

Menghantar belanja dan akad

Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja perkahwinan diadakan sehari atau dua (kekadang lebih lama) sebelum upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-sama, mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar:

  1. cincin yang bertatahkan batu permata
  2. kain sutera yang mencukupi untuk menjahit sehelai baju perempuan
  3. dua helai sarung sutera
  4. beraneka jenis kuih
  5. beraneka jenis buah-buahan
  6. puan (mangkuk sirih) atau kotak sirih yang dilengkapi dengan bahan-bahan (ini bukannya hadiah tetapi akan dipulangkan)
  7. satu atau dua buah cerek air mawar yang diperbuat daripada logam perak atau loyang (juga akan dipulangkan).

Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk upacara akad, pengantin lelaki pada zaman silam memakai pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan keperluan adat resam.

Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, anggota-anggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin lelaki berduduk di atas sehelai tikar sila di bahagian utama ibu rumah, berdekatan imam. Barang-barang yang dibawanya dibariskan di tengah ibu rumah antara dua baris tetamu yang berduduk, dengan wang belanja, cincin, serta puan di hadapan baris.

Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk menerima dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara akad nikah. Selepas barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu bapa pengantin perempuan, kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek air mawar dan dulang bunga rampai (jika disediakan), dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian mendaftarkan nama pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas kemasukan itu ditandatangani oleh pengantin lelaki serta kedua-dua saksi tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan dalam bahasa Arab (bagaimanapun, pada hari ini, sebilangan besar imam Melayu yang bersikap wajar membaca upacara dalam bahasa yang difahami oleh pengantin lelaki dan para hadirin). Pada akhir upacara, imam memegang tangan kanan pengantin lelaki dan mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya, mula-mulanya dalam bahasa Arab (tidak wajib) dan kemudian dalam bahasa Melayu:

"... bin ..., aku nikahkan dikau dengan ... binti ... yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."

Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh pembayarannya tidak disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan "berhutang" atau "tunai" sejurus selepas menyatakan jumlah mas kahwin dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau kesilapan:

"Aku terima nikahnya ... binti ... dengan mas kahwinnya $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."

Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta dengan jelas kepada mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira sah.

Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan semua tetamu, bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki diiringi balik ke rumahnya dan tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan dengan jamuan yang terdiri daripada kari dan nasi minyak.

Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan nasi pengantin dan menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya. Pengantin lelaki akan menjemput beberapa kawan yang paling rapat untuk bersarapan bersama-sama.